Kolam Air Panas Langkawi

Apabila membincangkan kolam air panas semula jadi, negara pertama yang akan terlintas dalam fikiran adalah Jepun. Begitu mudah untuk mencari promosi hotel kolam air panas di Jepun setiap kali anda mengunjungi pameran pelancongan. Ringkasnya, ia sesuatu yang banyak dikaitkan dengan negara Jepun dan memandangkan penduduk tempatan dan kerajaan mereka begitu berdedikasi mempromosikan pelancongan negara tersebut, mudah untuk kita faham mengapa Jepun sering dikaitkan dengan kolam air panas.
Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mungkin tahu mengenai kolam atau telaga air panas air garam semula jadi. Kini hanya ada tiga yang dikenali di dunia. Agak sukar untuk rakyat Malaysia sendiri menghabiskan masa hujung minggu di dua dari tiga lokasi tersebut memandangkan ia masing-masing terletak di Kyushu, Jepun dan Zhaori, Taiwan.

Mungkin ada terkejut apabila mengetahui bahawa anda tidak perlu berbelanja besar atau menghabiskan masa berjam-jam menaiki kapal terbang ke luar negara untuk mengalami fenomena semula jadi ini kerana terdapat satu telaga air panas di sebelah utara Semenanjung Malaysia yang mana anda boleh membawa seluruh keluarga anda untuk percutian hujung minggu. Lebih menyeronokkan, anda tidak memerlukan perbelanjaan tinggi kerana tempat yang anda tuju adalah daerah zon bebas cukai.

Sekiranya tekaan anda adalah Langkawi, tekaan anda tepat sekali! Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana anda tidak pernah mengetahui tentang kepelbagaian Langkawi walaupun
anda pernah berkunjung sebelum ini. Bukan rahsia lagi bahawa Langkawi adalah destinasi perlancongan yang mempunyai banyak lokasi-lokasi menarik untuk dilawati. Tentu sekali lokasi utama adalah Bandar Kuah, di mana anda boleh membeli-belah secara bebas cukai, dan Pantai Chenang adalah lokasi untuk menghabiskan masa bersantai di pantai. Namun, terdapat banyak lagi lokasi dan aktiviti yang boleh dilakukan di Langkawi selain melawat Bandar Kuah dan Pantai Chenang.
Ayer Hangat adalah salah satu destinasi yang tidak diketahui ramai di kalangan pengunjung-pengunjung Langkawi. Perkampungan kecil itu mempunyai satu daya tarikan yang sangat digemari mereka yang pernah ke sana. Tentunya daya tarikan ini adalah telaga air panas air garam.

Secara geologi, ini adalah fenomena semula jadi yang mungkin disebabkan oleh letusan gunung berapi yang membentuk keretakan di kerak bumi beribu tahun lalu. Letusan ini menyebabkan air bergerak lebih dalam ke bawah tanah dan menjadi panas. Di beberapa tempat, mata air panas boleh menjadi terlalu panas untuk semua makhluk hidup menghampirinya. Namun suhu di Ayer Hangat sesuai untuk anda merendamkan kaki ke dalamnya.
Sekiranya anda lebih menggemari legenda berbanding geologi, Ayer Hangat mempunyai kisahnya tersendiri. Diceritakan dengan teliti sepanjang 18 kaki mural di kampung Ayer Hangat, anda boleh mempelajari kisah asal-usul kampung tersebut. Legenda menceritakan kisah pergaduhan antara dua orang gergasi; Mat Raya dan Mat Cincang.
Pergaduhan ini bermula kerana Mat Raya ternampak anak Mat Cincang bermain mata dengan wanita lain semasa kenduri perkahwinan anak lelaki Mat Cincang dengan anak perempuan Mat Raya. Semasa pergaduhan tersebut, periuk dan kuali dibaling. Satu jag berisi air panas kemudian terjatuh ke tanah, lalu terhasillah telaga air panas yang kini berada di Ayer Hangat.

Terdapat dua telaga air panas awam yang terkenal di kampung ini. Yang pertama adalah “Telaga Betina” atau “Wanita Baik”. Lokasi ini sesuai untuk keluarga dan pengunjung yang datang dalam kumpulan besar. Ia terdiri daripada beberapa kolam kecil, dan airnya tenang. Dengan kata lain, telaga ini sesuai dengan pengunjung kali pertama.
Sebaliknya, jika anda seorang yang sudah biasa dengan sumber air panas, sama ada air masin atau tidak, “Telaga Jantan” atau “Telaga Lelaki” mungkin sesuai dengan anda. Dengan suhu yang mencecah antara 38 ̊C hingga 42 ̊C, telaga ini berlokasi di kawasan terbuka di mana pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kehangatan air, tetapi juga pemandangan tanah lembap yang menakjubkan di sekeliling kawasan tersebut. Air di sini juga ‘lebih keras’ dan lebih hijau dari kepekatan alga yang tinggi.
Jika anda inginkan privasi, kawasan persendirian disediakan dan ia menempatkan dua belas
jakuzi peribadi, lengkap dengan tandas, tempat mandi dan gazebo. Setiap unit ini boleh memuatkan satu kumpulan atau keluarga cukup sehingga lapan orang. Oleh itu, jika anda lebih senang tidak bercampur dengan pelawat lain, anda boleh bertanya jika kawasan persendirian ini ada kekosongan.

Kini anda tahu lokasi telaga air panas air garam semula jadi, tetapi tahukah anda akan faedah kesihatan buat mereka yang berendam di dalam telaga ini? Setakat ini, tiada penyelidikan saintifik yang membuktikan faedah-faedahnya, namun tiada juga penyelidikan yang menentangnya. Namun orang ramai yang berkunjung rata-rata mengaku mengalami perubahan dalam kesihatan masing-masing.
Umumnya, mata air panas air garam semula jadi dapat membersihkan dan menyahtoksinkan badan. Ia juga mempercepatkan proses penyembuhan luka dan bertindak sebagai agen membuang toksin dari sistem anda. Salah satu faedah air panas yang dibuktikan sains adalah ia berguna untuk mengurangkan bengkak yang diakibatkan oleh senaman aktif atau kecederaan sendi dan otot.

Kerana telaga air panas ini kaya dengan mineral, ia juga dapat melegakan beberapa masalah kulit secara semula jadi. Kandungan silika yang tinggi boleh melicinkan dan melembutkan kulit yang kering dan kasar. Selain itu, kandungan dalam sulfur yang terdapat dalam air panas ini dapat melegakan ruam, gejala psoriasis dan beberapa jangkitan kulit yang lain.

Kerana mata air panas boleh membekalkan oksigen kepada sistem peredaran darah, ia bermanfaat untuk kesihatan jantung, dan juga membuat organ dan tisu penting di dalam badan anda sihat dan kuat.

Secara ringkas, banyak faedah kesihatan yang dapat anda perolehi hanya dengan bersantai di sekitar telaga bersama rakan-rakan selama sejam. Namun begitu, sebelum anda berkunjung ke telaga air panas Ayer Hangat, anda dinasihati supaya menghubungi doktor anda jika anda hamil atau mempunyai masalah kesihatan yang tidak sesuai dengan aktiviti berendam di dalam air panas.
Akhir kata, usah cemas apabila terlihat bahan asing terapung di dalam kolam atau telaga air panas di sini kerana ia hanyalah alga.

Pintu Masuk Kampung Ayer Hangat
Dewasa RM 15.00
Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun RM 10.00
(pemegang mykad akan mendapat harga masuk RM 10.00, kanak-kanak 5.00)

Jakuzi
Jakuzi peribadi 2 orang RM 199.00
Jakuzi peribadi 3 orang RM 225.00
Jakuzi peribadi 4 orang RM 279.00
Jakuzi persendirian 5 orang RM 399.00
(pemegang mykad akan mendapat diskaun RM 50.00 untuk semua pakej untuk jakuzi satu unit SAHAJA)

Ayer Hangat Village

Jalan Air Hangat, Mukim Air Hangat, 07000, Langkawi, Kedah
[email protected] (Reservations) or [email protected] (Groups)
Telephone: +60 11-1950 6460 (Reservations)